• Welcome to Estates Department
  • pengarah_p@um.edu.my
  • +603-7967 3999 (8am - 5pm)
logo
logo

1. Pokok adalah aset semula jadi yang amat berharga untuk mengurangkan kesan pulau haba, meningkatkan kualiti udara, menyediakan persekitaran yang kondusif untuk aktiviti fizikal dan sosial, serta meningkatkan kesejahteraan mental. Pada tahun 2015, Jabatan Harta Benda (JHB) telah memetakan kira-kira 5,287 pokok teduhan di kampus, meliputi kawasan utama UM termasuk Lingkungan Budi, Tasik Varsiti, Dewan Tunku Canselor (DTC), Kompleks Perdana Siswa (KPS), Perpustakaan Utama, dan semua fakulti. Dianggarkan 80% daripada 5,287 pokok teduhan ini berusia lebih 30 tahun dan memerlukan perhatian yang lebih teliti.

2. Walau bagaimanapun, baru-baru ini anda mungkin perasan beberapa batang pokok telah ditebang di UM. Hal ini kerana JHB dan arboris bertauliah telah mengenal pasti 108 pokok berisiko tinggi yang perlu ditebang untuk memastikan keselamatan warga kampus. Penilaian risiko dan kesihatan pokok akan dilakukan secara berterusan, dan mungkin akan ada penambahan pokok lain dalam senarai akan datang. Pemotongan ini dijadualkan secara berperingkat sehingga April 2025 untuk mengurangkan gangguan dan kesulitan. Kami sedang menangani keperluan untuk menebang pokok-pokok berisiko tinggi kerana kami mendapati ia telah ditanam di lokasi yang kurang sesuai. Kami komited untuk membuat pilihan yang lebih baik pada masa hadapan bagi memastikan kehijauan kampus kita diurus dengan baik.

3. Di antara 108 pokok yang akan ditebang, 55% adalah Khaya senegalensis / Khaya ivorensis (Khaya), spesies bukan tempatan dari Afrika. Walaupun Khaya adalah pokok yang cepat tumbuh dan memberikan penyejukan segera kepada persekitarannya, kehadiran pokok Khaya membimbangkan kerana ia cenderung tumbang, terutamanya semasa ribut petir. Khaya juga merupakan pokok yang memerlukan penyelenggaraan tinggi, dengan akar yang boleh merebak dengan cepat dan menyebabkan kerosakan kepada struktur bangunan, longkang, jalan raya, tempat letak kenderaan, laluan pejalan kaki, dan utiliti bawah tanah. Arboris bertauliah telah menjalankan pemeriksaan pada tahun 2013, 2015, 2019, dan terbaru pada tahun 2023 serta 2024, mengesyorkan pemeriksaan lebih teliti terhadap pokok Khaya dan menasihatkan agar tidak menanamnya di masa depan. Malangnya, pemindahan pokok Khaya dan pokok berisiko tinggi lain tidak dapat dilakukan kerana saiznya yang besar, kos pemindahan yang tinggi, dan kadar kelangsungan hidup yang rendah. Selain itu, pokok-pokok ini tidak diklasifikasikan sebagai spesies terancam atau sukar dijumpai.

4. Keputusan untuk menebang pokok berisiko tinggi ini dibuat dengan teliti. Semasa ribut petir yang berlaku pada dua tarikh yang berasingan pada bulai Mei 2024, 120 pokok berisiko tinggi telah tumbang sehingga menghalang jalan dan merosakkan beberapa kenderaan yang diparkir. UM masih menunggu maklum balas daripada syarikat insurans yang dilantik mengenai jumlah kerugian sebenar yang disebabkan oleh pokok tumbang. Kita juga amat bersyukur kerana tiada nyawa yang terkorban semasa ribut petir tersebut. Daripada jumlah pokok yang tumbang, 30% adalah pokok Khaya. 

5. Sebagai langkah mitigasi, tahun ini JHB akan mengeluarkan Garis Panduan Penyelenggaraan Pokok Teduhan Universiti Malaya. Garis panduan ini akan berfungsi sebagai sumber rujukan kepada warga kampus semasa proses pemilihan spesies pokok teduhan yang sesuai ditanam berdasarkan penggunaan dan saiz kawasan serta untuk mewujudkan habitat penting untuk pelbagai spesies lain, termasuk burung, mamalia kecil, dan serangga. Garis Panduan ini  juga akan menyenaraikan jenis pokok yang tidak sesuai ditanam kerana  akar yang agresif, berduri, mudah dijangkiti kulat atau beracun. 

6. Kami faham bahawa berita ini mungkin mengejutkan, memandangkan kepentingan pokok di kampus ini. Selaras dengan komitmen universiti terhadap pengurusan landskap yang lestari, 100 pokok yang akan dipilih berdasarkan garis panduan baharu, dijadualkan untuk ditanam pada September 2024 untuk mengganti pokok yang ditebang. Usaha ini adalah sebahagian daripada janji berterusan universiti untuk menanam sekurang-kurangnya 200 pokok dan 500 pokok renek setiap tahun. Walaupun sebahagian besar daripada pokok-pokok ini tidak akan ditanam di kawasan yang sibuk, ia tetap akan menyumbang kepada penghijauan kampus. Selain itu, kami juga ingin berkongsi bahawa pada tahun 2023, Seksyen Landskap JHB telah menanam 297 anak pokok teduhan spesies hutan dari FRIM Kepong di kawasan terbuka UM, serta telah mencapai kadar kelangsungan hidup 100%. Ini adalah sebahagian daripada program perhutanan bandar di mana pokok-pokok tersebut dipilih berdasarkan toleransi mereka terhadap persekitaran bandar.

Kami mengalu-alukan sebarang cadangan atau maklum balas mengenai perkara ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul. Sila berhubung dengan Encik Abd Haris Yaacub (abd.haris@um.edu.my), Encik Mohd Razman Anuar  (razmana@um.edu.my) atau  Encik Hisyamuddin Che Harun  (hisyamuddin@um.edu.my) daripada Seksyen Landskap, JHB. 


Nota: Notifikasi ini dikeluarkan oleh Jabatan Harta Benda (JHB) dan Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC). Ia bertujuan untuk memberikan maklumat yang jelas dan telus mengenai langkah pengurusan pokok berisiko tinggi dan kepentingannya untuk keselamatan warga kampus.

Highlights