Kursus Basic Life Support (BLS) & Penggunaan AED: Perkukuh Kesiapsiagaan Pasukan ERT JHB
Pada 22 Mei 2025 (Khamis), Jabatan Harta Benda telah menganjurkan satu kursus bertajuk Basic Life Support – Automated External Defibrillator (AED) bertempat di Auditorium JHB. Kursus ini telah dijalankan dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang, dan bertujuan untuk memberikan pendedahan serta latihan praktikal kepada staf dalam menghadapi situasi kecemasan, khususnya melibatkan kes-kes kecemasan dan keperluan bantuan awal pernafasan.
Seramai 30 orang peserta telah mengambil bahagian dalam kursus ini, terdiri daripada staf Jabatan Harta Benda yang kebanyakannya merupakan ahli Pasukan Bantuan Kecemasan (Emergency Response Team, ERT). Kehadiran yang memberangsangkan ini menunjukkan komitmen jabatan dalam membina budaya kerja yang lebih bersedia dan selamat.
Kursus ini telah dikendalikan oleh pasukan terlatih dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dengan ceramah utama disampaikan oleh En. Mohd Zaidi bin Mohd Daud yang berpengalaman luas dalam latihan Basic Life Support dan penggunaan AED. Beliau turut dibantu oleh beberapa fasilitator profesional yang memberi bimbingan secara langsung kepada para peserta.
Antara pengisian utama kursus termasuklah teknik Cardiopulmonary Resuscitation (CPR), langkah-langkah penggunaan Automated External Defibrillator (AED), serta simulasi amali yang melibatkan senario sebenar. Para peserta diberi peluang untuk mencuba sendiri peralatan serta teknik yang diajar dalam suasana yang terkawal dan dibimbing.
Maklum balas yang diterima daripada peserta sangat positif, dengan ramai menyatakan bahawa kursus ini sangat bermanfaat dan memberi keyakinan untuk bertindak pantas dalam situasi kecemasan. Diharapkan latihan seperti ini menarik minat semua staf dan dapat dijadikan sebagai aktiviti tahunan jabatan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan warga kerja sentiasa berada di tahap terbaik.
![]() | ![]() | ![]() |
![]() | ![]() | ![]() |
![]() | ![]() | ![]() |
![]() |